Ketika ini ramai yang sibuk membuat rumah terbuka sempena Syawal yang tinggal kira-kira seminggu lagi. Biasanya minggu ketiga Syawal ramai yang membuat rumah terbuka kerana pada minggu pertama ramai yang beraya di kampung dan minggu kedua kebanyakan orang berpuasa enam. Maka tinggal minggu ketiga dan terakhir yang paling sesuai. Kekadang walaupun bulan Syawal telah berlalu masih ada yang membuat rumah terbuka kerana faktor masa.

Aku sendiri tidak membuat rumah terbuka tetapi sentiasa mengalu-alukan kunjungan jiran, sahabat-handai dan saudara-mara pada bila-bila masa sahaja mereka ada kelapangan dan aku ada di rumah.

Pada hujung minggu yang baru lalu ini, memang begitu banyak rumah terbuka yang diadakan oleh jiran-jiranku. Memang tak makan di rumah selama dua hari tu, dari pagi sampai ke malam dari satu rumah ke satu rumah. Sungguh meriah bila dapat berjumpa dengan jiran kerana kesempatan berjumpa memang terhad kerana pada hari-hari biasa masing-masing sibuk dengan tugas dan tanggungjawab. Aku berpendapat semangat kejiranan di kawasan perumahan terutama di jalan tempat aku menetap amat baik. Kami saling mengenali dan membantu antara satu sama lain.

Tapi perlu ingat semasa kita seronok menghadiri rumah terbuka dan menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah, jaga jumlah dan jenis makanan yang diambil. Ini lebih penting bagi mereka yang sudah meningkat usia dan mempunyai penyakit. Berat badan aku pun dah bertambah jika dibandingkan pada penghujung Ramadhan dulu.

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 6.12.04

0 comments

Post a Comment

Subscribe here