Filem Sepet akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 24 Februari 2005 ini. Berikut adalah petikan daripada akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 11 April 2004;


Sepet, dunia impian Yasmin

Selepas filem pertamanya,Rabun yang mendapat reaksi pelbagai daripada penonton, Yasmin Ahmad bakal muncul dengan sebuah lagi filem cereka. Filem keduanya ini masih lagi tentang cinta dan tajuknya kali ini kena-mengena dengan mata-Sepet.

Kalau Rabun mengangkat dunia cinta pasangan suami isteri yang sudah lanjut usia tetapi berkasih sayang seperti orang muda, Sepet pula terjun langsung ke dalam permasalahan cinta remaja.

Dalam Sepet, Yasmin memilih untuk mengangkat kisah cinta antara dua remaja yang berlainan bangsa dan agama - cinta lelaki cina penjual VCD haram bernama Jason@Ah Loong dengan Orked, gadis ayu daripada keluarga Melayu yang baru tamat tingkatan lima.

Dalam satu pertemuan baru-baru ini, Yasmin menegaskan bahawa Sepet bukan hanya tentang kisah cinta Jason@Ah Loong dan Orked.

“Ini sebuah cerita cinta yang tidak mengenal batas masa,bahasa,umur,sempadan,pangkat dan darjat. Ini kisah cinta yang tidak perlu kepada pengertian dan huraian,” katanya.

Sepet yang sudah siap penggambarannya akan menjalani proses akhir di India tidak lama lagi dan dijangka menemui para penonton di pawagam penghujung Ogos ini.

Dalam beberapa tayangan versi roughcut filem itu baru–baru ini, Sepet yang memakan masa 1 jam 50 minit itu mendapat sambutan dan reaksi yang cukup menggalakan. Mereka yang menontonnya nyata terhibur –ketawa dan sesetengahnya bertakung air mata.

Malah beberapa orang daripada mereka juga mengakui bahawa kekuatan Yasmin ialah keupayaaannya menggabungkan insiden yang komik sekali gus menyayat hati. Apabila dua perasaan itu bersatu kesan daripada sebuah adegan ia sudah tentu mengingatkan kita kepada apa yang pernah diucapkan oleh pengarah besar Perancis, Francois Truffaut bahawa itulah sebuah kerja seni yang mengagumkan.

Secara umumnya, mereka yang telah menontonnya sepakat mengatakan bahawa kekuatan Sepet banyak terletak kepada cerita dan tema yang diketengahkannya.

Selebihnya, filem itu secara jujur bercerita tentang Malaysia. Malah tidak keterlaluan kalau dirumuskan bahawa selepas Mekanik dan Spinning Gasing, Sepet adalah sebuah filem yang berjaya merakamkan dengan jujur tentang masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Cerita dalam Sepet itu diungkapkan dengan tepat sekali melalui dialog Keong, watak anak muda Cina kawan kepada Jason@Ah Loong. Kata Keong:”Sejak bertemu Orked, aku tidak pernah suka kepada orang Melayu. Bukan aku tidak suka tetapi aku tidak pernah memikirkan tentang mereka.”

Sepet adalah sebuah lakon layar yang ditulis oleh Yasmin lebih 10 tahun lalu. Ketika itu tajuk asalnya ialah Petaling Street dan kemudian ditukar menjadi Ah Loong dan Intan.

Filem ini nyaris-nyaris hampir tidak jadi dibuat kerana fail lakon layarnya yang tersimpan dalam komputer peribadi Yasmin secara tidak sengaja telah hilang terpadam.

Mujur salinan naskah Ah Loong dan Itan itu ada dalam simpanan Dominique Hee, penerbit filem Spinning Gasing yang juga seorang kenalan rapat Yasmin.

“Saya meminjam naskah itu daripadanya dan menaipnya semula pada penghujung tahun lalu,”kata Yasmin.

Setelah proses menaip semula itu,Yasmin berpeluang melihat kembali naskah itu, kali ini dengan mata yang lebih segar dan pandangan yang lebih terbuka.

Ah Loong dan Intan sekali lagi melalui rombakan dan diberi judul baru, Sepet. Setelah siap itu pun, Sepet dirombak lagi beberapa kali.

Dalam tempoh antara Petaling Street sehingga membawa kepada Sepet itu, cerita tentang kasih sayang yang tidak mengenal batas kaum dan agama itu sememangnya begitu kental dalam pemikiran Yasmin.

Malah beberapa iklan Petronas sempena musim perayaan seperti Friends Again, Different World, Lee Yan's Best Friend dan Rokiah & Letchumi yang ditulis oleh Yasmin juga menyentuh tentang isu yang sama. Yasmin mengakui bahawa dia mengimpikan sebuah Malaysia yang penduduk berbilang bangsanya boleh hidup dengan lebih bersatu padu tanpa beza-membeza.

“Secara jujur saya katakan begini saja. Sehingga hari ini saya rasa bersalah melihat orang bukan Melayu yang cemerlang tidak mendapat bantuan yang sama seperti anak-anak Melayu,”katanya.

Setelah yakin dengan naskah yang ada di tanganya dan setelah didesak oleh rakan-rakan yang tidak sabar mahu terlibat menyiapkan Sepet, pemilihan pelakon dilakukan.

Ketika kebanyakan pengarah masa kini mengambil jalan mudah menampilkan bintang popular-penyanyi dan model sebagai pelaris filem arahan mereka, Yasmin memilih jalan yang sebaliknya. Dua watak utama, Jason @Ah Loong dan Orked yang menjadi penggerak kepada keseluruhan cerita dalam filem ini dimainkan oleh muka baru, Ng Choo Seong dan Sharifah Amani.

Choo Seong, seorang pengarah kreatif di Leo Burnett Advertising Sdn.Bhd, pejabat tempat Yasmin bekerja. Sepet adalah pendedahannya yang pertama kepada dunia lakonan.

“Saya ada beberapa orang calon untuk watak itu tetapi saya tidak pernah menyangka bahawa Jason@Ah Loong setiap hari sebenarnya melintas di depan mata saya,” kata Yasmin.

SepetWatak Orked pula dimainkan dengan cukup berkesan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid al-Yahya, anak kepada pelakon terkenal dan pengarang kanan di New Straits Times, Fatimah Abu Bakar. Adik kepada pelakon Sharifah Aleya sebelum ini muncul sebagai pelakon pembantu dalam Mimpi Moon arahan Shuhaimi Baba. Sepet merupakan pengalaman pertamanya berlakon sebagai watak utama.

Mereka dibantu antara lain oleh Harith iskandar, Ida Nerina, Adibah Noor dan Thor Khar Hoong. Dari sudut teknikal, Sepet yang diterbitkan oleh MHz Sdn Bhd mengekalkan tenaga krew yang sama dalam Rabun dengan Keong Low sebagai pengarah sinematografi dan Affandi Jamaludin sebagai penyunting.

Ditanya tentang harapannya terhadap Sepet, Yasmin berkata, "dia hanya mahu orang menikmati filem itu dan kemudian berbincang mengenainya.” Sepet mahu memberitahu bahawa kita boleh menyayangi orang lain yang sama sekali berbeza dengan kita. Kita boleh mengasihi orang yang langsung tidak kita fahami.

“Orang Melayu boleh mengasihi orang Cina dan begitu sebaliknya. Majikan boleh menyayangi pekerja mereka. Orang Cina boleh menyukai puisi yang ditulis oleh orang benggali,”kata Yasmin.

Itulah yang dapat dilihat dalam Sepet. Di dalam filem itu, Kak Yam yang berkerja di rumah Orked tidak dilayan seperti orang gaji. Jason@Ah Loong yang lahir dalam sebuah keluarga peranakan minat kepada puisi dan cukup menggemari puisi-puisi Rabindranath Tagore.

“Selebihnya saya mahu anak-anak muda Melayu dan Cina bersama-sama ke panggung menonton filem ini dan saling mengenali dunia satu sama lain,”tambahnya.


PANCAINDERA
MINGGUAN MALAYSIA
AHAD 11 APRIL ,2004

Laman web rasmi Sepet - http://www.sepet.com.my
Laman blog pengarah Sepet, Yasmin Ahmad - http://yasminthestoryteller.blogspot.com

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 22.2.05

0 comments

Post a Comment

Subscribe here